Sabtu, 10 November 2012

Ucapkanlah "Laa Haula Waa Laa Quwwata Illah Billah

Rasulullah SAW bersabda :

“Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia
akan menjadi obat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah
kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani)
Hadis ini adalah riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath dan al-Hakim yang
berbunyi: “Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min
tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu” dan maksudnya adalah seperti
di atas.

Intipati hadis tersebut adalah umat Islam digalakkan untuk tabah dan
berusaha merawat penyakit asalkan mengikut peraturan agama. Penyakit
yang dimaksudkan itu ada terkandung dalam beberapa ayat al-Quran dan
hadis Rasulullah SAW.

Daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma
innii ‘auuzhu bika minal barashi wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il
asqaam (yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung
kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit
yang berat).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga hadis riwayat Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW
berdoa: “Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa
‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl,
wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal (yang bermaksud: “Ya
Allah, saya berlindung kepada-Mu daripada penyakit gelisah dan dukacita,
aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit lemah dan malas, aku
berlindung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil dan aku berlindung
kepada-Mu daripada timbunan hutang dan penindasan orang.”

Apa yang penting pada hadis berkenaan ialah untuk menyatakan
kelebihan dan manfaat besar kepada orang yang banyak menyebut ‘La
Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Maksudnya tiada daya dan kekuatan
(untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang
manfaat) selain Allah SWT.

Ucapan itu dinamakan Hauqalah.

Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita
tidak sukai, banyakkan menyebut hauqalah. Imam a-Nawawi berkata: “La
haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk
menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk
memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang
hamba tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan
(kemudaratan) dan tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan
kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga.

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku
berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata kepadaku:
“Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu
perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata:
Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa
billah.”

Begitu juga hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW
bersabda kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan salah satu perbendaharaan
dari perbendaharaan syurga? Saya menjawab: “Mahu ya Rasulullah.
Kemudian Baginda bersabda: La haula wala quwwata illa billah.”

Dari pada Ibnu Mas’ud beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Wahai
Muaz, adakah kamu tahu tafsir (maksud) La haula wala quwwata illa
billah? Muaz menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Rasulullah
SAW bersabda: La haula (tiada daya) dari menghindari maksiat kepada
Allah melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada kekuatan)
atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT.

Kemudian Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan Baginda bersabda: “Demikianlah
yang diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.”

Sebenarnya apabila kita banyak menyebut Allah SWT atau berzikir
mengingati-Nya sebanyak-banyaknya, ia mampu menjadi penyembuh,
tetapi sekiranya kita banyak ingat kepada manusia ia boleh menjadi
penyakit.

* Semoga Bermanfaat *